Friday, March 30, 2012

Nahh Lebih baik cerita pasal bola

Nahh Lebih baik cerita pasal bola
SAFEE tidak gemar masalah peribadinya disensasikan.
ANGIN tiada ribut pun tiada, kehidupan peribadi penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali tiba-tiba menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.
Semuanya gara-gara keputusan Safee atau nama sebenarnya Mohd. Safee Mohd. Sali, 28, menarik balik permohonan kembali taat yang difailkan terhadap isterinya, Sabrina Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, November tahun lalu.
Safee yang diwakili peguam syarie, Norrasyada Osman membuat permohonan itu di hadapan Hakim Syarie, Atras Mohamad Zain di mahkamah tersebut pada Selasa lepas.
Bertindak ‘mengunci mulut’ mengenai perkara itu, pengurus peribadi Safee Sali, Zakaria Ab. Rahim begitu pun berharap supaya isu tersebut tidak disensasikan mana-mana pihak.
Meskipun menyedari kehidupan Safee sebagai selebriti sukan, terutamanya selepas berhijrah ke kelab Indonesia, Pelita Jaya FC, kata Zakaria, ada baiknya semua pihak menumpukan perkembangan karier Safee sebagai pemain bola sepak.
“Saya enggan memberikan komen kerana bagi saya itu isu peribadi Safee. Lebih baik kita cerita pasal bola (karier Safee).
“Setakat ini alhamdulillah semuanya selesai, terserahlah kepada Safee dan keluarganya berhubung perkara itu,” katanya ringkas kepada Kosmo! semalam.
Muka depan akhbar Kosmo! pada 28 Mac lalu melaporkan mengenai tindakan Safee yang bersetuju untuk menarik balik permohonan tersebut selepas bersetuju menyelesaikan masalah rumah tangga mereka di luar mahkamah.
Permohonan Safee dibuat melalui Norrasyada kerana tidak dapat hadir ke mahkamah, dan Atras kemudiannya membenarkan permohonan itu serta memutuskan agar kes itu ditutup.
Sabrina yang diwakili peguam syarie, Junaidah Bakar juga tidak hadir pada prosiding tersebut kerana dikatakan berada di Kuching, Sarawak. Pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan iaitu Nur Syaza Syaqina, 3, serta Nursyasya Safirna berusia satu tahun.
Ketika ditanya kemungkinan permohonan itu dibuat Safee sebelum ini gara-gara keengganan Sabrina mengikuti Safee ke Indonesia, Zakaria juga enggan mengulas lanjut. Safee begitupun gagal dihubungi semalam bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, Zakaria mengakui fokus Safee tidak terjejas apabila muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super Indonesia (ISL) 2012 setakat ini dengan 12 gol. Ini sekali gus membantu Pelita Jaya menghuni tangga kelapan ISL dengan 24 mata.
“Buat masa ini, Safee berada pada prestasi terbaik dan bebas daripada dibelenggu masalah kecederaan serta bersedia untuk diturunkan jurulatih Pelita Jaya, Rahmad Dharmawan dalam perlawanan menentang Persiba Balik Papan pada 11 April ini.
“Keutamaan Safee ketika ini adalah membantu Pelita Jaya mengutip tiga mata berharga dalam setiap perlawanan, dan sasaran untuk muncul sebagai penjaring terbanyak ISL musim ini hanya disifatkan sebagai satu bonus semata-mata,” katanya.
Sumber : Kosmo!

1 comments: